Monday 26 November 2012

Kesilapan umum tatabahasa


KESILAPAN UMUM TATABAHASA

Konsep kesalahan bahasa ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan bahasa sama ada ejaan, perkataan, susunan frasa atau ayat. Jenis-jenis kesalahan bahasa boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu;
i.                    Kesalahan ejaan
ii.                  Kesalahan morfologi
iii.                Kesalahan sintaksis
iv.                Kesalahan tanda bacaan

Penggunaan tatabahasa yang salah di dalam bilik darjah sama ada dalam lisan mahupun penulisan  boleh diperincikan  berdasarkan empat topik berikut.

1.      Kesalahan Penggunaan Kata Sendi Nama

Menurut Awang Sariyan (1980:14), kesalahan umum penggunaan kata sendi nama terbahagi kepada dua iaitu kesalahan penggunaan kata sendi nama dan pengabaian kata sendi.Kata sendi yang sering digunakan dengan salah ialah dari dan daripada, di dan pada, ke dan kepada.

Kata Sendi Nama
Penggunaan
dari
tempat, masa
daripada
perbandingan, asal kejadian
di
tempat
pada
masa, orang, benda abstrak
ke
tempat, masa
kepada
benda bernyawa, benda abstrak

 
Contoh penggunaannya:

Salah
Betul
Dia berasal daripada Seri Manjung.
Dia berasal dari Seri Manjung.
Surat itu dari abang saya.
Surat itu daripada abang saya.
Beg itu dibuat dari kulit.
Beg itu dibuat daripada kulit.
Di masa depan
Pada masa depan
Di zaman teknologi maklumat
Pada zaman teknologi maklumat
Di hari ini
Pada hari ini
 Bungkusan itu diserahkan ke Hajar.
Bungkusan itu diserahkan kepada Hajar.
Dilontar ke Amin.
Dilontar kepada Amin.
Oleh kerana
Oleh sebab
Suka langsat
Suka akan langsat
Balik Melaka
Balik ke Melaka
Pergi pusat sumber
Pergi ke pusat sumber

 
Contoh penggunaan :

Kata sendi nama
Penggunaan
Dari
i.                    tempat
ii.                  masa
 
Saya berasal dari Kuala Kangsar.
Mereka menjalani latihan bola sepak dari pukul 4.00 petang hingga 6.00 petang.
 
Daripada
i.                    perbandingan
ii.                  asal kejadian
 
 
Bangunan ini lebih tinggi daripada bangunan itu.
Beg ini diperbuat daripada kulit buaya
Pada
i.                    masa
ii.                  orang
iii.                benda abstrak
 
Pada hari ini, majlis penyampaian hadiah diadakan di dewan sekolah.
Markah murid-murid untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup ada pada Cikgu Nolia.
Ke
i.                    tempat
ii.                  masa
 
Ayah pergi ke kedai dengan menaiki kereta.
 
Kepada
i.                    benda bernyawa
ii.                  benda abstrak
 
 
Bungkusan ini diserahkan kepada ibu.
Surat permohonan itu telah diserah kepada guru biasiswa.

 
2.      Kesalahan Penggunaan Kata Penguat

Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Terdapat tiga jenis kata penguat:

Penguat hadapan
agak, begitu, paling, terlalu
Penguat belakang
benar, betul, nian, sekali
Penguat bebas
amat, sangat, sungguh

 

Contoh penggunaan:

salah
betul
Pemandangan di puncak Gunung Kinabalu amat cantik sekali.
Pemandangan di puncak Gunung Kinabalu amat cantik.
Pemandangan di puncak Gunung Kinabalu cantik sekali.
Mereka amat gembira sekali.
Mereka amat gembira.
Mereka gembira sekali.
Fairus  terlalu percaya sangat akan kata-kata kawannya.
Fairus percaya sangat akan kata-kata kawannya.
Jambatan Pulau Pinang amat panjang sekali di Asia Tenggara
Jambatan Pulau Pinang panjang sekali di Asia Tenggara.
Jambatan Pulau Pinang amat panjang di Asia Tenggara.
Menara Kuala Lumpur paling tinggi sekali.
Menara Kuala Lumpur paling tinggi.
Dia murid tertinggi sekali di dalam kelas 5A
Dia murid tertinggi di dalam kelas 5A.

 
3.        Kesalahan Penggunaan Kata kerja Terbitan : Akhiran 'kan' dan ' i '

Salah satu perkara yang menimbulkan kesulitan kepada pengguna bahasa Melayu khususnya murid-murid ialah  perbezaan antara akhiran –kan dengan akhiran –i. Dari segi fungsi, kedua-duanya membentuk kata kerja transitif, oleh itu, memerlukan objek. Tetapi dari segi makna, terdapat persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya.


Salah
Betul
menghadiahkan ibu
menghadiahi ibu
mengurniakan beliau
mengurnai beliau
menganugerahkannya ilmu
menganugerahinya
mengirimkan saya surat
Mengirimi saya surat
mengirimkan surat kepada saya

Contoh ayat :

1. Saya menduduki kerusi yang kosong itu.

2. Saya mendudukkan anak itu pada kerusi yang di hadapan.

3. Murid-murid menaiki bas sekolah itu.

4. Ketua murid menaikkan bendera sekolah.

5. Batang buluh memagari rumah Pak Din.

6. Pak Din memagarkan batang buluh di sekeliling rumahnya.
 
4   Kesalahan Penggunaan Susunan kata (Hukum D-M) Diterangkan dan Menerangkan

D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir  pada kedudukan yang kedua.

Salah
Betul
Dr. Mariam Klinik
Klinik Dr. Mariam
Medan Restoran
Restoran Medan
Cili sos
Sos cili
Mini bas
Bas mini
Goreng pisang
Pisang goreng
Lain-lain hal
Hal-hal lain
Lain-lain perkara
Perkara-perkara lain

1 comment:

  1. Bahan yang sangat sesuai untuk memahami tatabahasa dan kesalahan yang sering kita lakukan ketika menulis mahupun ketika berbicara. Tahniah dapat menghasilkan bahan P&P yang menarik.

    ReplyDelete