Friday 30 November 2012

Puisi Melayu : Gurindam Nasihat

Gurindam nasihat

Kalau murid sikapnya tenang,
Kerja guru menjadi senang.

Kalau fikiran masih mentah,
Segala arahan sering dibantah.

Melentur buluh dari rebungmya,
Kalau tidak sukar jadinya.

Mendidik murid perlukan sabar,
Agar mereka dapat iktibar.

Kalau sekolah tidak selamat,
Hendak belajar risaunya amat.

Bersih ceria sekolah kita,
Murid selesa mencapai cita.

GURINDAM UNTUK PENGGUNA

Belilah barang pabila perlu,
Jangan gopoh jangan melulu.
 
Salah memilih membawa padah,
Nanti menyesal tak sudah-sudah.
 
Alah membeli menang memakai,
Kesal tak sudah jika diabai.
 
Pabila hati sudah terpikat,
Tawar dahulu jangan terpikat.
 
Jika kita hendak berbelanja,
Janganlah habiskan duit yang ada.
 
Alang-alang membeli barang,
Pilih yang asli bukan tiruan.
 
Kalau berbelanja berpada-pada,
Elakkan boros dan juga alpa.
 
Kalau membeli terasa ragu,
Tanyalah pada mereka yang tahu.
 
 

Puisi Melayu : Sajak


Sajak : Bicara Seni

Dulu..
Orang sering berbicara
tentang seni
tentang puisi
kerana pada baris seni dan puisi
ada keindahan
ada pengajaran.
Kini....
anak-anak muda
hanyut dalam fantasi
tiada siapa lagi menghiraukan
kemerduan syair
tiada siapa lagi mengendahkan
keindahan bait pantun
kemerduan seloka dan puisi.
Karya sastera
yang ingin kita warisi itu
entah ke mana tenggelamnya
lenyap dalam almari warisan
ditelan arus zaman.
 
 
SAJAK MENUJU KEJAYAAN
 
Jika ingin menggapai awan
jika ingin mencapai kejayaan
aku berpegang kepada janji
tidak mungkin aku mungkiri.
 
Walau sengsara aku pejamkan
sekali aku bertekad terus kukotakan
sekalipun bara panas yang kugenggam
tidak akan kulepaskan.
 
Jika kejayaan menjadi harapan
tidak kumahu sekadar impian
tidak sekali aku berganjak
setelah langkahku bergerak
akan terus aku gerakkan.
 
Puncak jaya yang kucitakan,
biar apa pun di hadapanku,
akan kutuju dengan keyakinan
jangan undur nanti kecundang
walau berjambak rintangan yang datang.
 
 
SAJAK MENONGKAH ARUS
 
Biar ombak menghempas
biar onar mengganas
tak akan terhapus
tak akan tercalar
dia yang yakin
dia yang berani.
 
Biar persekitaran jadi jemu
biar harta jadi abu
tak akan cair
tak akan lumpuh
dia yang sarat
dengan impian
dia yang sarat
dengan pedoman.
 
Biar berat kewajipan
biar pahit pengalaman
tak akan pendam jiwa
dia yang sarat
dengan keikhlasan
dia yang sarat
dengan itlizam.

Puisi Melayu : Syair


Syair : Kerbau Yang Baik Hati

Dengarlah ini satu cerita,

Kisah Sang Buaya ditimpa bencana,

Datang Sang Kerbau bertubuh sasa,

Ingin sekali membantu mangsa.

                                                               Batang kayu jatuh menimpa,

                                                               Ketika buaya bersantai leka,

                                                               Hendak diangkat tiada berdaya,

                                                               Terasa hilang separuh nyawa.

Diangkat bebanan di badan buaya,

Terlepas buaya dari bahaya,

Kerbau yang baik tidak menduga,

Terima kasih diucap hanya berpura.

                                                             Buaya tidak mengenang budi,

                                                             Di hadapan mata ada rezeki,

                                                             Ditangkap Sang Kerbau sebelah kaki,

                                                             Hendak dimakan tiada simpati.

Mujurlah ada Sang Kancil bestari,

Gelagat buaya dia perhati,

Rasa belas di dalam hati,

Melihat kerbau buaya khianati.

                                                          Kancil bertanya apa terjadi,

                                                          Kerbau cerita sepenuh hati,

                                                          Kancil minta tunjuk sekali,

                                                          Supaya dia puas hati.

Buaya ketawa sepenuh hati,

Katanya kerbau tunjukkan aksi,

Diletak kerbau batang kayu tadi,

Kancil berkata biar buaya sendiri.

 

Puisi Melayu : Pantun( Buku Teks Bahasa Melayu)

PANTUN MENGENANG BUDI

Burung pipit di sawah padi,
Dihalau teruna bertubuh sasa,
Ingatlah pada orang berbudi,
Kenang olehmu sepanjang masa.

         Anak lembu di tepi bukit,
         Berjalan beriring berkawan-kawan,
         Berbuat baik walau sedikit,
         Tetap dikenang budimu tuan.

Ikan keli ikan gelama,
Dimasak lemak sedap dimakan,
Budi yang luhur kita terima,
Haruskan dibalas dengan kutukan.

        Anak haruan berkawan-kawan,
        Masuk ke kuala berenang-renang,
        Pelik sungguh dirimu tuan,
        Orang berbudi tidak dikenang.

PANTUN NASIHAT

Hendak membeli buah delima,
Dijual orang di tepi jalan,
Berbilang kaum hidup bersama,
Bersatu padu jadikan amalan.

            Kalau mengambil buah berangan,
            Elok disimpan di dalam guni,
            Amalan berbudi jadikan pegangan,
            Tentu kita hidup harmoni.

Manis sungguh buah kuini,
Apa kurangnya buah belimbing,
Bantu-membantu amalan murni,
Bagai aur dengan tebing.

             Kalau memetik buah keranji,
             Berilah sedikit kepada teman,
             Sikap tolenrasi amat terpuji,
             Masyarakat berani negara aman.

PANTUN SAYANGI ALAM

Memancing ikan di Sungai Jugra,
Enak sekali dimasak gulai,
Manusia prihatin bumi terpelihara,
Persekitaran indah tidak ternilai.

              Enak sekali dimasak gulai,
              Sudah makan menjilat jari,
              Persekitaran indah tidak ternilai,
              Dunia ini milik sendiri.

Sudah makan menjilat jari,
Enaknya gulai masih terasa,
Dunia ini milik sendiri,
Perlu dipelihara sepanjang masa.

               Enaknya gulai masih terasa,
               Mendapat pujian rakan dan taulan,
               Perlu dipelihara sepanjang masa,
               Agar keindahan terus berkekalan.
 

Monday 26 November 2012

Kesilapan umum tatabahasa


KESILAPAN UMUM TATABAHASA

Konsep kesalahan bahasa ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan bahasa sama ada ejaan, perkataan, susunan frasa atau ayat. Jenis-jenis kesalahan bahasa boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu;
i.                    Kesalahan ejaan
ii.                  Kesalahan morfologi
iii.                Kesalahan sintaksis
iv.                Kesalahan tanda bacaan

Penggunaan tatabahasa yang salah di dalam bilik darjah sama ada dalam lisan mahupun penulisan  boleh diperincikan  berdasarkan empat topik berikut.

1.      Kesalahan Penggunaan Kata Sendi Nama

Menurut Awang Sariyan (1980:14), kesalahan umum penggunaan kata sendi nama terbahagi kepada dua iaitu kesalahan penggunaan kata sendi nama dan pengabaian kata sendi.Kata sendi yang sering digunakan dengan salah ialah dari dan daripada, di dan pada, ke dan kepada.

Kata Sendi Nama
Penggunaan
dari
tempat, masa
daripada
perbandingan, asal kejadian
di
tempat
pada
masa, orang, benda abstrak
ke
tempat, masa
kepada
benda bernyawa, benda abstrak

 
Contoh penggunaannya:

Salah
Betul
Dia berasal daripada Seri Manjung.
Dia berasal dari Seri Manjung.
Surat itu dari abang saya.
Surat itu daripada abang saya.
Beg itu dibuat dari kulit.
Beg itu dibuat daripada kulit.
Di masa depan
Pada masa depan
Di zaman teknologi maklumat
Pada zaman teknologi maklumat
Di hari ini
Pada hari ini
 Bungkusan itu diserahkan ke Hajar.
Bungkusan itu diserahkan kepada Hajar.
Dilontar ke Amin.
Dilontar kepada Amin.
Oleh kerana
Oleh sebab
Suka langsat
Suka akan langsat
Balik Melaka
Balik ke Melaka
Pergi pusat sumber
Pergi ke pusat sumber

 
Contoh penggunaan :

Kata sendi nama
Penggunaan
Dari
i.                    tempat
ii.                  masa
 
Saya berasal dari Kuala Kangsar.
Mereka menjalani latihan bola sepak dari pukul 4.00 petang hingga 6.00 petang.
 
Daripada
i.                    perbandingan
ii.                  asal kejadian
 
 
Bangunan ini lebih tinggi daripada bangunan itu.
Beg ini diperbuat daripada kulit buaya
Pada
i.                    masa
ii.                  orang
iii.                benda abstrak
 
Pada hari ini, majlis penyampaian hadiah diadakan di dewan sekolah.
Markah murid-murid untuk mata pelajaran Kemahiran Hidup ada pada Cikgu Nolia.
Ke
i.                    tempat
ii.                  masa
 
Ayah pergi ke kedai dengan menaiki kereta.
 
Kepada
i.                    benda bernyawa
ii.                  benda abstrak
 
 
Bungkusan ini diserahkan kepada ibu.
Surat permohonan itu telah diserah kepada guru biasiswa.

 
2.      Kesalahan Penggunaan Kata Penguat

Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Terdapat tiga jenis kata penguat:

Penguat hadapan
agak, begitu, paling, terlalu
Penguat belakang
benar, betul, nian, sekali
Penguat bebas
amat, sangat, sungguh

 

Contoh penggunaan:

salah
betul
Pemandangan di puncak Gunung Kinabalu amat cantik sekali.
Pemandangan di puncak Gunung Kinabalu amat cantik.
Pemandangan di puncak Gunung Kinabalu cantik sekali.
Mereka amat gembira sekali.
Mereka amat gembira.
Mereka gembira sekali.
Fairus  terlalu percaya sangat akan kata-kata kawannya.
Fairus percaya sangat akan kata-kata kawannya.
Jambatan Pulau Pinang amat panjang sekali di Asia Tenggara
Jambatan Pulau Pinang panjang sekali di Asia Tenggara.
Jambatan Pulau Pinang amat panjang di Asia Tenggara.
Menara Kuala Lumpur paling tinggi sekali.
Menara Kuala Lumpur paling tinggi.
Dia murid tertinggi sekali di dalam kelas 5A
Dia murid tertinggi di dalam kelas 5A.

 
3.        Kesalahan Penggunaan Kata kerja Terbitan : Akhiran 'kan' dan ' i '

Salah satu perkara yang menimbulkan kesulitan kepada pengguna bahasa Melayu khususnya murid-murid ialah  perbezaan antara akhiran –kan dengan akhiran –i. Dari segi fungsi, kedua-duanya membentuk kata kerja transitif, oleh itu, memerlukan objek. Tetapi dari segi makna, terdapat persamaan dan perbezaan antara kedua-duanya.


Salah
Betul
menghadiahkan ibu
menghadiahi ibu
mengurniakan beliau
mengurnai beliau
menganugerahkannya ilmu
menganugerahinya
mengirimkan saya surat
Mengirimi saya surat
mengirimkan surat kepada saya

Contoh ayat :

1. Saya menduduki kerusi yang kosong itu.

2. Saya mendudukkan anak itu pada kerusi yang di hadapan.

3. Murid-murid menaiki bas sekolah itu.

4. Ketua murid menaikkan bendera sekolah.

5. Batang buluh memagari rumah Pak Din.

6. Pak Din memagarkan batang buluh di sekeliling rumahnya.
 
4   Kesalahan Penggunaan Susunan kata (Hukum D-M) Diterangkan dan Menerangkan

D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini unsur yang diterangkan itu merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir  pada kedudukan yang kedua.

Salah
Betul
Dr. Mariam Klinik
Klinik Dr. Mariam
Medan Restoran
Restoran Medan
Cili sos
Sos cili
Mini bas
Bas mini
Goreng pisang
Pisang goreng
Lain-lain hal
Hal-hal lain
Lain-lain perkara
Perkara-perkara lain